Wajah - Part 5

23.11.14
Part 1
Part 2
Part 3
Part 4

Punggung dilabuhkan dengan kasar pada stool yang terletak bertentangan dinding kaca. Choco-Caramel Shake dibiarkan bermandi cahaya matahari. Rohana diam, dagu ditongkat sambil mencebik mulut. Muzik white jazz yang menjadi latar belakang kafe tersebut tidak dapat menenangkan hatinya.

Letih mengeluh. Serba-serbi tidak kena. Setiap masa. Setiap perbuatan. Ada sesuatu yang menghalang dia daripada fokus. Diri terasa seperti dibelenggu sesuatu. Sesuatu yang tidak nampak pada mata kasar. Tetapi terus membelenggu hati serta permikirannya.

Pandangan dilontarkan ke arah orang-orang yang memenuhi kaki lima di hadapannya. Sesak sama seperti biasa. Bagaikan arus-arus sungai yang terus mengalir tanpa putus meskipun masing-masing bertentangan arah.

Dalam ribuan, jutaan wajah manusia yang mengerumuni kawasan itu, hanya satu daripadanya Rohana kenal. Harris, si literalist. Rapat dengan Irham. Irham pula merupakan ‘sasaran’ Anis Suzanna, tetapi sehingga sekarang masih tiada sebarang perkembangan antara mereka berdua. Harris tidak bersendirian seperti yang biasa dia tahu. Menemani lelaki itu ialah seorang perempuan. Rauh wajah, susuk tubuh, ketinggian, tidak terlalu berbeza dengannya. Tidak sepadan dengan sebarang informasi yang dia tahu mengenai lelaki itu. Bukan kakaknya. Barangkali perempuan itu sebaya dengannya.

Apa yang menghairankan, Harris bukannya seorang yang pandai menangani perempuan. Dengan Anis Suzanna sahaja sudah cukup segan. Ini pula dengan seorang perempuan lain yang sedang memegang tangan, menyeret dia pergi. Nampak menyeronokkan. Ingin tahu ke mana mereka pergi dan apa yang mereka buat. Tetapi, Rohana memilih untuk tidak masuk campur.

Minumannya diteguk hingga habis. Rohana keluar dari kafe tersebut. Selangkah kakinya menjejakkan ke laluan kaki lima, mata meliar ke segenap arah. Tangan kiri sudah pun masuk ke dalam poket manakala sebelah lagi mengenakan hud.

Kamera mini dalam poket parka digenggam. Kandungannya, bahan bukti untuk kerja kali ini. Kes tipikal, skandal.

2 meter dari belakang. Rohana perasan sesuatu. Tempo langkah kaki orang di belakangnya sama seperti dia. Berhati-hati. Kononnya ingin menyembunyikan kehadiran. Bagi Rohana, tindakan orang itu agak bijak. Tetapi tidak memadai untuk mengekorinya.

Kedudukan hud ditarik lebih ke hadapan. Rohana masuk ke dalam arus utama laluan orang-orang yang sedang berjalan. Menyelinap di celah-celah setiap aliran tanpa bertembung dengan mereka. Kemudian menghilangkan diri.

★★★★★★★

Entah mengapa, akhir sekali Rohana masuk ke lorong yang sama sebelum ini. Suasananya tidak pernah berubah. Sunyi. Gelap. Begitu mencurigakan. Teringat peristiwa yang tidak begitu menyenangkan berlaku antara dia dan beberapa individu lain di tempat ini.

Setiap saat, Rohana tidak dapat berfikir apa-apa kecuali kebarangkalian perkara yang tidak elok bakal berlaku.

Tembok yang pernah Ridzuan lompat sebelum ini dia lihat. Tinggi. Secara teori, memang sukar untuk lompat melepasinya tanpa mengambil lajak terlebih dahulu atau memiliki kekuatan otot kaki yang luar biasa. Tetapi lelaki itu dengan mudah berbuat demikian.

Kotak kayu yang ada bertentangan tembok Rohana pijak. Rapuh. Hanya menunggu masa untuk hancur berkecai. Rohana turun semula sebelum perkara itu berlaku. Perasaan ingin tahu masih lagi ada. Terutama sekali apa yang ada di sebalik tembok itu.

Look what we have here.” Suara seorang lelaki kedengaran dari belakang. Sinis. Tetapi bukan kali pertama didengar Rohana.

Teragak-agak untuk beralih. Melompat melepasi tembok itu pula mustahil. Seperti sebelum ini juga, parka yang sama dia pakai menyukarkan dia untuk bergerak.

“Kita berjumpa lagi nampaknya.” Sambung lelaki itu.

Perlahan-lahan Rohana memalingkan wajah. Senyuman hanya sekadar topeng kepada nafsu yang sudah lama berkulat dalam hati. Jijik rasanya.

Kelima-lima mereka mara melangkah. Datang hampir.

Rohana mencekak tangan. Tidak terlintas dalam fikiran apa yang patut dilakukan. Tiada Meera yang akan muncul tiba-tiba menyelamatkannya. Jika ada sekali pun itu hanya kebarangkalian yang wujud satu dalam seribu.

“Apa kata kita pergi berseronok?” Lelaki itu cuba menyambar tangannya.

Kedengaran sesuatu jatuh dari langit. Apabila mendongak ke atas, tiada apa-apa.

“Ri...” Cuba Rohana menyeru satu nama.

“Ada apa tadi?”Salah seorang daripada mereka bertanya.

Mereka yang lain menggeleng.

What do you say?” Sekali lagi lelaki itu ingin menarik tangan Rohana.

Tiba-tiba seorang lelaki jatuh dari langit. Belakang baju banyak dengan kesan koyak, Sebaliknya tubuh pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siapa? Identiti lelaki itu masih lagi menjadi tanda tanya. Wajahnya juga belum lagi kelihatan pada mata Rohana.

“Minta maaf. Tapi tolong jangan ganggu dia lagi.” Lelaki itu bersuara.

Tidak tumpah seperti suara ‘seseorang’ yang dikenali Rohana.

Cara percakapan. Postur tubuh yang berisi dengan otot bersaiz sederhana besar. Rambut pendek yang tidak mencecah belakang leher. Biar apa baju yang dipakai. Tetapi seluar yang tiga suku panjang kaki, sama seperti cara berpakaian seseorang yang dia sangat kenal.

Orang pertama yang timbul dalam fikiran Rohana, Ridzuan.

Tanggapan itu sememangnya benar. Apabila lelaki itu kembali tegak berdiri. Wajah mereka bertembung. Memang benar lelaki itu ialah Ridzuan, versi tanpa face mask.  

“Kau siapa? Nak tunjuk hero?” Baju Ridzuan cekak. Bengis muka lelaki yang berlagak seperti ketua kumpulan itu.

“Saya tak mahu awak ganggu perempuan ni lagi.” Balas Ridzuan. Sedikit pun tidak gentar.

Hah? ‘Perempuan ni’?

Kening Rohana terangkat. Hancur hatinya. Pada saat yang dia berasa dirinya dilindungi, kata-kata Ridzuan membuatkan hatinya remuk tiba-tiba.

Selangkah Rohana mara ke hadapan. Kedudukan dikunci. Kemudian dia menampar belakang Ridzuan.

Kaku tanpa sebarang reaksi. Sedikit pun tidak berganjak. Ridzuan masih tegak berdiri seperti tiada apa yang berlaku.

Call me Hana!

Diam sedetik. Maksud ungkapan Rohana tidak begitu jelas.

Terburai ketawa berdekah-dekah daripada kumpulan lelaki tersebut. Sesuatu yang menarik benar-benar berlaku. Mangsa yang disangka jinak sebelum ini rupa-rupanya bertaring, meskipun tumpul. Nampak marah, tetapi suaranya agak comel.

“Hei, perempuan ni boleh tahan jugak!” Lelaki itu menyambung.

Bahu Ridzuan ditepuk beberapa kali. Digoncang. Wajah dirapatkan.

Tipikal. Terlalu tipikal untuk perwatakan seorang samseng. Angan-angan ingin menakutkan Ridzuan. Tetapi mungkin tindakan itu hanya sia-sia. Raut wajah Ridzuan langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“Rohana, cepat pergi.”

“Tak!” Segera Rohana membantah. Belakang baju Ridzuan dia genggam. Sambungnya lagi, “Awak tak fikir nak berlawan dengan mereka, bukan?”

“Saya tak apa-apa. Awak....”

Sebelum sempat menghabiskan baki-baki ayatnya, Ridzuan ditumbuk pada muka. Pantas perkara tersebut berlaku sehingga dia tidak sempat berbuat apa-apa. Nampak sakit. Tetapi Ridzuan hanya condong sedikit sebelum berdiri seperti biasa.

“Jangan paksa diri nak jadi hero, Romeo!” Tengking lelaki itu.

Ridzuan langsung tidak mempedulikan apa yang dikatakan. Kedua-dua belah tangan diangkat, mendepa. Bagaikan sebuah perisai, melindungi Rohana di sebalik tubuhnya.

“Pergi, Rohana.” Tegas Ridzuan.

“Tak!”

Genggaman tangan Rohana semakin kuat. Seperti tidak mahu melepaskan Ridzuan. Sama ada takut. Sama ada risau akan keselamatan lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu. Matanya yang hampir terpejam memandang belakang baju Ridzuan yang terkoyak. Tidak nampak seperti ditoreh dengan pisau. Bukan juga seperti tersangkut pada sesuatu.

“Apa kata kau berambus. Kami pun tak ada kuasa nak layan kau.” Amaran diberikan kepada Ridzuan.

Diam. Kening Ridzuan berkerut.

“Kau ingat Meera akan datang dan selamatkan kau? Jangan harap!” Sambung lelaki itu.

Sekali lagi dia menyerang Ridzuan. Tendangan kaki kanan. Tidak dielak. Badan Ridzuan yang bertidak sebagai perisai masih lagi gagah melindungi Rohana. Meskipun sekuat hati ditendang, mimik wajahnya langsung tidak berubah. Kesakitan yang orang biasa rasa seperti tidak wujud bagi dia.

“Ridz. Cukup.” Pinta Rohana. Nadanya lemah. Takut. Namun tangannya masih menggenggam baju lelaki itu.

Sedikit pun tidak diendahkan oleh Ridzuan. Malah dia masih dengan keputusannya untuk melindungi Rohana. Meskipun berkali-kali dipukul, tubuh Ridzuan langsung tidak menunjukkan sebarang kesan lebam. Malah, setitis darah pun tidak mengalir.

“Puas?” Soal Ridzuan. Dia mendekati lelaki itu. Tubuhnya diregangkan. Sambungnya lagi, “Boleh lepaskan dia?”

“Hah?”

“Dia tak ada kena-mengena dengan kamu semua.” Ridzuan menolak Rohana ke belakang.

“Sama juga dengan kau!”

Segenggam buku lima melayang ke arah muka Ridzuan. Bersalut perasaan marah yang membuak-buak. Mengenai sasaran dan mendiamkannya sudah cukup untuk memuaskan hati yang sedang panas membakar.

Ridzuan melompat ke belakang. Tangan lelaki itu dia sambar. Menggunakan kaki kiri sebagai pusat pusaran, dia berpusing mengikut arah lawan jam. Lelaki itu diheret sekali. Berhenti tiba-tiba apabila hampir lengkap satu pusingan. Lelaki itu dihayun ke udara.

Ridzuan melompat. Tenaga pada otot kaki kanan dikumpul. Lantas dia menendang belakang lelaki itu.

Tiupan angin bertukar kencang tiba-tiba. Seperti tiupan taufan yang kuat. Cukup kuat untuk menerbangkan apa sahaja yang ada di lorong gelap itu. Tiupan angin tersebut kemudiannya berkumpul di sekeliling Ridzuan.

“Rohana, jom lari!

Segera Ridzuan mencapai lengan Rohana. Dinding dijadikan sebagai papan anjal. Kedua-dua mereka melonjak ke udara. Tinggi. Melepasi tembok bata itu.

Tubuh yang selama ini bagai beban untuk bergerak terasa seperti kapas. Begitu ringan dan mudah ditiup pergi mengikut arah angin.

Namun, apa yang menanti mereka di sebalik tembok itu, sebuah kereta yang meluncur laju. Tiada tanda hendak berhenti. Pemandunya juga tidak sempat terpandang akan mereka berdua.

Rohana memejamkan mata. Terlalu takut untuk membayangkan apa yang bakal berlaku.

Sekali lagi tubuh mereka melonjak ke udara. Seperti ditolak sesuatu. Liar mata Ridzuan memandang sekeliling. Kakinya seperti menendang ke kanan. Tetapi apa yang ditendangnya tiada kelihatan pada mata kasar. Sekali lagi mereka diterbangkan.

Perkara yang sama berulang berkali-kali. Ridzuan terus menendang sesuatu yang kemudiannya membuatkan terus terapung dan terbang di udara.


Akhirnya, kaki mereka menjejak bumbung bangunan tidak jauh dari situ. Selamat. Tiada sebarang impak. Ridzuan memandang ke belakang. Wajah Rohana. Juga, orang-orang tadi, yang mungkin sedang mengejar mereka.

“Awak tak apa-apa, Rohana?” Soalnya.

Kening terangkat. Tindakan luar kawalan sekali lagi. Tangan kanannya hingga di pipi Ridzuan tiba-tiba.

Diam. Ridzuan tidak memberi sebarang reaksi.

What are you thinking? Are you trying to save or kill me?” Rohana meninggikan suara. Anak matanya mengecil. Tidak pasti sama ada terlalu marah, takut atau terkejut.

Masih lagi dengan emosi yang tidak terkawal, dia menyambung, “Maybe you’re trying to save and kill me at the same time.

Nadanya seperti benci. Tetapi baju lelaki itu dia cekak sepenuh perasaan. Ingin ditanduk kepala lelaki itu. Apabila pemikirannya waras sekali lagi, mungkin tidak. Dia sendiri akan berasa sakit jika dibandingkan lelaki itu.

“Siapa awak sebenarnya? Kena belasah macam tadi pun langsung tak rasa sakit. Lepas tu lompat tembok tinggi macam tak ada apa-apa. Kemudian terbang ke atas bangunan pula. Are you a human?

Ridzuan enggan bersuara. Dia hanya memandang wajah Rohana. Seribu satu persoalan. Rasa tidak puas hati. Terlalu terkejut dengan apa yang berlaku. Apa yang dialami perempuan itu agak keterlaluan.

“Ridz, answer me!

Terpaksa mengalah.

Ridzuan menghela nafas lemah.

Fine. Tapi, tolong rahsiakan perkara ini daripada orang lain. I mean EVERYONE, okay?

Rohana mengangguk. Perasaan yang bercampur-baur dalam jiwanya masih belum reda.

“Ingat tak yang awak pernah beritahu saya identiti rahsia awak? Saya juga ada identiti rahsia. Pendek kata, saya pun abnormal.”

Sekali lagi kening Rohana terangkat. Tersentak.

“Bezanya kita. Awak boleh kawal kebolehan awak. Tapi, saya pula baru belajar.”

Abnormal? Ability? Taklah. Sesiapa pun boleh jadi stalker macam saya. All you need is learn how to keep eyes on your target and that’s it. Of course not letting your terget know your presence.

Diam sekali lagi. Ridzuan berpaling ke belakang sambil kedua-dua belah tangan menyeluk saku seluar. Dipandangnya langit biru yang tidak begitu berawan. Sama ada ditiup angin atau ada yang membelahnya.

“Saya, dari kecil suka berlari. Tak kira apa keadaan sekali pun. Waktu gembira saya lari. Waktu sedih saya lari. Waktu marah pun saya lari. Orang kata macam lari tak cukup tanah pun ada.” Jelasnya.

What do you mean by that?

“Saya pun tak sedar pada mulanya. Tapi kemudian barulah saya perasan betapa nikmatnya rasa ditiup angin. Lagi laju saya lari, lagi kuat saya rasa angin bertembung dengan tubuh saya.”

Tangan dikeluarkan semula dari poket. Tiba-tiba Ridzuan melompat dari bangunan itu. Cara dia jatuh sama seperti biasa. Tetapi selepas kakinya menendang sesuatu di udara, dia naik semula. Seperti seekor burung yang berterbangan. Kemudian kembali di hadapan Rohana.

“Sekarang, saya sudah menjadi seperti angin.”

“Saya tak rasa itu orang normal boleh buat. Bagi orang abnormal yang awak maksudkan sekali pun, masih lagi mustahil.” Kata Rohana. Dia nampak sedikit takut. Selangkah ke belakang dia ambil, menjauhkan diri daripada lelaki itu.

“Bagaimana pula dengan awak? Sebaik saja awak pakai hud parka tu, awak seolah-olah bertukar menjadi seorang halimunan. Biasanya orang yang pakai hud nampak lagi menonjol daripada biasa.” Ridzuan pula memberikan penilaiannya. Dia menjauhkan diri daripada hujung bangunan itu.

Sambungnya, “Tapi awak pula, seperti hilang tiba-tiba. Ambil masa untuk saya kenal pasti awak sekali lagi tadi.”

“Jadi, sekarang awak pula yang mengekori saya sekarang? I thought I’m the stalker here. ” Terkejut Rohana apabila dia sendiri, stalker yang diekori orang lain. Maruahnya seperti tercabar.

“Bukan tu yang saya maksudkan. Tapi, cara awak menghilangkan diri boleh dikatakan agak menakjubkan. Kalau bukan kerana angin yang bertembung dengan awak, mungkin saya tak tahu awak berada di mana.”

Diam seketika. Ungkapan Ridzuan masih belum jelas maknanya.

“Angin apa yang awak maksudkan dari tadi? Saya tak faham langsung. Awak kata awak lari bertentangan angin. Kemudian awak kata awak jadi seperti angin. Sekarang awak boleh rasa angin pula. Siapa awak sebenarnya?”

“Ridzuan. Ataupun lebih dikenali sebagai Ridz oleh awak, Anis Suzanna dan Iirma. Pelajar kelas 4 Quanta.”

Sebelah kening terangkat. Tangan kanan Rohana juga seperti hendak melakukan pergerakan yang sama. Hendak menyambar muka lelaki itu sekali lagi.

“Selama ini saya sedang berlatih menghadkan pernafasan saya. Face mask yang saya pakai adalah untuk mengurangkan kadar udara yang masuk ke dalam paru-paru saya. Mula-mulanya memang susah. Tapi sekarang, pakai face mask sekali pun, saya boleh bernafas seperti orang biasa.” Jelas Ridzuan.

“Awak nak cakap lung capacity awak lebih besar daripada orang lain.”

Mengangguk setuju.

“Ya. Disebabkan pakai face mask juga boleh membuatkan saya lebih mengenali angin. Apabila pernafasan saya terhad, barulah saya mula menghargai udara yang saya sedut selama ini. Dari situ, saya sedar betapa pentingnya udara itu kepada diri saya dan udara pula dibawa oleh angin.”

Rohana nampak sedikit tenang. Dengupan jantung yang tidak tentu arah tadi juga kian reda dan mengepam darah seperti biasa.

“Walaupun saya tak boleh kawal angin, tapi saya boleh menjadi sepertinya. Sebab itu saya boleh terapung atau nampak seperti berterbangan. Sebab saya dan angin sudah menjadi satu.”

“Tapi kita manusia biasa. Kita lebih berat jika nak dibandingkan dengan angin.”

“Ada teori mengatakan jika frekuensi sesuatu objek sama dengan angin yang sedang bertiup, objek itu boleh terapung tanpa mengambil kira jisimnya. Mungkin fenomena itu yang membuatkan saya boleh terapung selama ini.”

Hilang sekali lagi. Tidak faham dengan penjelasan daripada lelaki itu. Rohana terpaksa akur meskipun dia tidak dapat mentafsir kata-kata Ridzuan. Jika lelaki itu terus memberikan penjelasan, barang kali dia akan bertambah keliru.

Diam. Ungkapan yang sukar ditafsir oleh pemikiran manusia yang waras.

Anyway, boleh tak awak simpan ini sebagai rahsia antara kita berdua?” Ridzuan datang hampir.

Berundur ke belakang. Takut apabila lelaki itu menghulurkan tangan seakan-akan ingin menyentuhnya. Wajah ditunduk.

Berat hati Rohana untuk memberi jawapan. Hatinya masih lagi tidak tenteram dengan apa yang berlaku. Tiba-tiba terpaksa menerima pelbagai kenyataan yang tidak masuk akal.

“Itu pun kalau awak tak keberatan. Sebab saya tak nak orang lain tahu. Saya terpaksa gunakan kebolehan ini untuk menyelamatkan awak.” Lelaki itu menyambung.

Tersentak tiba-tiba. Puncanya tidak tahu mengapa. Rohana mengeratkan genggaman kedua-dua belah tangan. Matanya hanya tertumpu pada kaki sendiri. Wajah diangkat, mulai naik, lantas memandang Ridzuan. Saat mata mereka bertentang, tanpa sebarang sebab dia terus memalingkan muka.

Adakah ini tindakan luar kawalannya lagi?

Dia sendiri tidak mengerti. Tetapi jantungnya kembali rancak berdengup. Tidak perlu disentuh, kuat dengupan sehingga dia sendiri dapat mendengarnya.

Rohana menurunkan kepala semula. Mengangguk lemah. Darah mula menyerbu ke kepala, menjadikan wajahnya merah padam. Bibirnya terbuka.

“Boleh. Tapi dengan satu syarat...”

“Syarat apa?”


“Awak kena...”

You Might Also Like

4 comments

blog ini berbentuk blog personal yang berkongsi tentang kehidupan zizie, dan beberapa informasi yang berguna untuk manusia sejagat. sebarang bahan bacaan di dalam blog ini bebas untuk ditulis semula kecuali bahan yang berunsur peribadi dan merupakan hak milik zizie. pihak zizie juga tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen daripada para pembaca.