Wajah - Part 2

1.11.14
Assalamualaikum wbt
Heyyo GG!

Here is some words from the writer.

Ribuan terima kasih kerana sudi membaca dan memberi pandangan. bagi pihak saya, saya akan cuba meningkatkan kualiti cerita sebaik mungkin. saya minta maaf kalau ada beberapa part yang susah nak faham. finally, sila enjoy citer ni sampai habis.

Part 1

Teks pada skrin telefon pintar diteliti satu per satu. Agak panjang. Singkatan juga banyak. Namun dia tetap baca sehingga habis. Setiap perkataan, butiran penting yang terkandung dalam teks tersebut difahami. Kemudian, hafal. Pen hitam di atas meja studi dia capai. Penutup pen digigit pada mulut. Sementara itu, dia membuat beberapa catatan pada lengan kirinya. Selesai, dia mencampakkan pen tadi semula ke tempat asalnya.

Nama, gambaran fizikal, rutin harian serta beberapa lagi informasi mengenai orang yang dia akan ekori. Bukannya penjenayah yang dikehendaki. Hanya orang biasa. Tetapi permintaan klien harus dipenuhi. Tugasnya tidaklah sukar seperti yang dijangka. Tambahan pula, langsung tidak bahaya.

Permintaan kliennya kali ini adalah sama ada suaminya memiliki kekasih gelap atau tidak. Orang berada. Selain mesyuarat yang tidak pernah habis, apa lagi yang dibuat selepas waktu pejabat? Curiga, cemburu, atau apa sahaja perasaan yang kurang senang sering menghantui diri.

Atas sebab itu dia diminta untuk menyisat. Apa sahaja. Dalam sebarang bentuk, yang boleh dijadikan sebagai bukti, dia perlu disediakan. Tidak kira berapa banyak kos yang diperlukan, kesemuanya akan ditanggung oleh klien sendiri.

Bukannya permintaan yang baharu. Bagi dia, permintaan kali ini agak tipikal. Upah juga agak lumayan, bagi seorang pelajar sekolah menengah.

Telefon pintar tadi dimatikan. Disimpan di dalam laci meja studi pula. Sebuah kamera digital bersaiz mini pula di keluarkan. Laci tadi dikunci semula dengan kod kekunci digit lima angka.

Rohana menghela nafas panjang. Berat. Seperti mana beban yang ditanggung hati.

Pakaian sekolah dicampakkan ke atas katil. Tuala diambil kemudian seluruh tubuh dikesat. Segala bau termasuk deodoran ditanggalkan. Pakaian ditukar. Sehelai parka berwarna biru tua yang pudar dikenakan. Labuhnya memanjang hingga ke paha. Langsung tidak bercorak.

Sedia. Rohana kemudiannya keluar. Keluar untuk melakukan kerja separuh masanya. Jika seorang pelajar kolej, universiti yang sibuk dengan kelas siang dan malam boleh melakukannya, kenapa dia tidak? Lagipun, dia mempunyai banyak masa lapang untuk diisi. Terlalu banyak sehingga dia tidak tahu apa yang patut dia buat.

★★★★★★★

Setiap langkah dipastikan tidak menghasilkan bunyi. Pada masa yang sama tiada sesiapa yang mengekorinya. Hud parka ditarik ke hadapan. Menutup kepala dan sebahagian wajah.

Sambil mengelak orang awan yang lalu-lalang, mata Rohana memandang ke arah sekeliling. Apa sahaja papan tanda, tidak terlepas. Dalam masa yang sama, sasaran dikenal pasti. Seorang lelaki awal 50-an. Memakai sut serba lengkap sambil membawa beg bimbit. Paras rupa, bentuk fizikal yang lain, sama seperti yang digambarkan oleh klien.

Berjalan bersebelahan lelaki itu pula seorang perempuan, berpakaian serba tidak cukup kain. Sekali pandang tidak ubah seperti GRO, penggoda lelaki. Berpegangan tangan. Hampir-hampir sahaja ingin berpelukan. Mesra. Bagai pasangan suami isteri. Malangnya, tidak.

Segala gerak-geri mereka diperhati. Setiap saat. Ke mana mereka pergi. Apa yang mereka buat. Malah, setiap perbualan. Meskipun tidak dapat didengar dari jarak yang jauh, pergerakan bibir masih boleh dibaca untuk mengetahui apa yang dibicarakan. Pada masa yang sama, beberapa keping gambar diambil sebagai bukti dengan kamera digitalnya.

Kerja sebagai penyiasat persendirian tidaklah sesukar yang dia sangka pada mulanya. Hanya mengekori sasaran serta mendapatkan maklumat semata-mata. Tidak perlu bertarung atau memberkas sesiapa. Tambahan pula, upahnya juga agak lumayan.

Rata-rata kliennya daripada golongan orang-orang berada. Bukan Rohana ingin mengambil kesempatan, namun mereka sendiri yang menginginkan khidmatnya. Identitinya sebagai seorang pelajar tidak mahu diketahui sesiapa. Rohana hanya berurusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ataupun e-mel. Manakala wang, upahnya pula dikendalikan melalui transaksi bank.

★★★★★★★

6 jam berlalu. Tugasnya selesai. Lelaki yang dia ekori tadi juga sudah pulang. Manakala perempuan GRO itu pula ada agenda yang lain. Dengan lelaki lain pula. Walau apapun, segala butiran, serta bukti yang jelas untuk menunjukkan lelaki itu curang sudah diperoleh. Cuma perlu diterjemahkan dalam bentuk laporan dan diserahkan kepada klien sahaja.

Rohana menghembus nafas lega. Perlahan-lahan. Sama seperti rima dengupan jantungnya. Makin tenang. Rohana berjalan ke laluan perjalan kaki. Hud parka diturunkan. Tidak perlu dia menyembunyikan wajah. Dunia sekeliling menjadi luas kembali. Tubuhnya juga terasa ringan semula.

Makan malam. Tiada. Hanya sebotol minuman isotonik yang dia beli dari sebuah kedai serbaneka. Sambil berjalan, dapat membasahkan tekak yang kering. Selera makan hilang setiap kali menjalankan pengintipan seperti ini.

Sewaktu dalam perjalanan pulang, sesuatu telah menarik perhatiannya.
            
    Meskipun samar-samar kelihatan dalam kegelapan malam, Rohana terlihat kelibat seorang lelaki sedang berlari. Di belakang lelaki itu tergalas sebuah beg kecil seperti berisi sesuatu. Gayanya seperti barang berharga. Mencurigakan.

Tetapi apa yang lebih penting, lelaki tersebut memakai face mask.

Sama seperti Ridzuan.

Rasa ingin tahu tiba-tiba muncul. Tidak tahu mengapa. Tetapi dia cuma inginkan kepastian. Meskipun terdapat bekarangkalian dia mungkin tersalah orang,  Rohana tetap mengekori lelaki itu. Tubuhnya bergerak tanpa dia sendiri sedari.

Orang yang ramai sedikit sebanyak membuatkan langkah lelaki itu terhenti beberapa kali. Peluang itu diambil Rohana untuk merapatkan jarak antara mereka. Tetapi tidak terlalu hampir. Takut sekiranya lelaki itu perasan.

Sejak tadi, hanya belakang tubuh. Tidak sekali pun lelaki itu menoleh ke belakang. Ada juga mengalihkan wajah ke sisi untuk memandang orang di sekeliling. Langkah, pergerakannya juga pantas. Refleks juga baik. Menyelinap begitu mudah takala berjalan bertentangan arus pejalan kaki yang lain. Seorang demi seorang dielak dengan mudah. Langsung tidak berselisih.

Ramai orang. Sukar Rohana untuk mengikut tempo lelaki itu. Tangkas. Bagai seorang peninju.  Lelaki itu mungkin seperti tidak ada masalah mengelak daripada beretembung dengan orang lain. Tetapi tidak bagi Rohana. Berkali-kali bahunya berlanggar dengan orang yang kebetulan sedang berjalan di situ.

Haluan lelaki itu tiba-tiba berubah.

Masuk ke dalam lorong antara blok bangunan terdekat. Keadaan sekeliling tidak begitu menyenangkan. Atmospheranya berat, gelap. Longkang kecil juga tertimbus dengan sampah. Bau sahaja membuatkan tekaknya berasa loya.

Langkah lelaki tadi bertambah laju. Tiba-tiba memecut laju ke hadapan. Kotak kayu bertentangan tembok setinggi hampir 2 meter di hadapan dipijak. Kemudian dia melonjakkan badan ke udara lalu melompat melepasi tembok tersebut. Begitu mudah.

Rohana berhenti. Dengan pakaiannya, mustahil dia dapat meniru aksi lelaki itu. Agak mengecewakan, tetapi Rohana mengambil keputusan untuk berputus asa. Keluhan dilepaskan. Sekarang sudah mustahil untuk dia mengejar lelaki itu. Pasti lelaki itu sudah jauh meninggalkannya. Meskipun berat hati, Rohana tidak mahu mengambil risiko. Apa yang ada di sebalik tembok itu pun dia tidak tahu. Seboleh-bolehnya dia ingin mengelakkan diri daripada sebarang bahaya.

Botol minuman dikeluarkan daripada poket parka. Sedikit demi sedikit penutup botol dipusing, menstabilkan tekanan gas di dalam botol dan di luar. Beberapa teguk dihirup sambil berjalan keluar daripada lorong gelap itu.

Udara kurang menyenangkan. Bau sesuatu terbakar. Asap rokok.

Langkah Rohana terkaku. Di hadapannya terdapat lima orang lelaki. Ekspressi wajah masing-masing mencurigakan. Dalam hati mereka penuh niat yang tersendiri. Tidak perlu dijangka apa yang difikirkan.

Puntung rokok dicampak ke tepi. Langsung tidak dipadamkan.

Semakin lama, mereka datang dekat. Rohana pula berundur ke belakang.

Tetapi dia lupa. Di belakangnya, tembok. Kiri, kanan dan hadapan sudah dikelilingi. Tiada jalan untuk melarikan diri. Tiada cara untuk berbuat begitu. Apa yang ada bersama-samanya hanya kamera digital mini. Tidak memadai untuk mempertahankan diri. Apa lagi meminta pertolongan orang lain.

Tidak dapat berkata apa-apa. Mata Rohana melirik ke kiri dan kanan, mencari peluang untuk meloloskan diri. Kotak kayu tadi masih ada. Tetapi dia tidak mampu melompat sama seperti lelaki yang cuba dia ekori tadi.

“Siapa?” Soal Rohana. Tangannya sudah pun bersentuhan dengan tembok tadi.

“Jangan takut, kita orang bukannya orang jahat. Nak berkenalan dengan kau saja.” Salah seorang daripada mereka tampil ke hadapan. Lagaknya bagai ketua dalam kelompok itu.

Tangan diangkat hendak membelai pipi. Tetapi Rohana mengelak. Segera dia mencapai hud kemudian menutup kepalanya. Ingin sahaja Rohana lesap daripada situ. Malangnya dia tidak mempunyai kebolehan istimewa untuk berbuat sedemikian. Laluannya juga tersekat.

“Alamak. Perempuan ni jenis pemalu pulak...” Sambung lelaki itu lantas mencapai tangan Rohana. Genggamannya begitu kuat. Bagaimana Rohana meronta sekali pun, mustahil untuk melepaskan diri. lagi kuat dia merentap, lebih kuat lelaki itu menggenggam.

Takut. Diri sendiri tidak mampu berbuat apa-apa sekarang. Renungan mata lelaki-lelaki itu rambang ke seluruh tubuhnya. Firasat yang kurang baik terasa.

Tercakar pada jalan. Selangkah pun tidak bergerak. Rohana semakin terdesak.

Senyuman yang pada mulanya berasa sangsi bertukar menjadi menakutkan. Salah seorang daripada mereka bertindak meraba Rohana. Tetapi tangannya terkaku tiba-tiba.

Satu lembaga misteri muncul dari sebalik tembok berhampiran mereka. Lelaki, tetapi memakai face mask. Renungan mata kosong namun tajam memandang mereka.

Tiada sesiapa bersuara buat sementara. Gementar menguasai jiwa tiba-tiba. Bagi Rohana pula, sesuatu petanda agak positif. Separuh wajah lelaki itu dia kenal.

Boss, kita ada masalah.” Salah seorang daripada mereka berkata. Namun suaranya bergetar. Takut? Tubuhnya juga menggeletar.

“Diam! Itu aku tahu!”

Tangan Rohana dilepaskan. Dia menolak orang-orangnya, membuka laluan. Beberapa langkah dia ambil ke hadapan. Dia berhenti, berdiri dengan gagah. Kedua-dua belah tangan diseluk ke dalam saku mengeluarkan aura yang garang.

“Meera.” Katanya.



Seorang perempuan dengan rambut panjang melepasi bahu. Menggerbang tidak terurus. Mimik muka, garang. Seperti ada dendam kesumat yang terpendam sejak dulu lagi. Parut pada kening kiri, samar-samar kelihatan. Tetapi masih tampak menakutkan.

“Nak kacau budak perempuan?” Soal Meera. Dia meniru aksi lelaki itu.

“Apa yang aku buat tak ada kaitan dengan kau! Berambus!” Tengkingnya. Leher baju Meera dia genggam. Masing-masing berwajah garang. Rapat antara satu sama lain.

“Aku tak rasa budak tu ada kaitan dengan kau.” Meera menolak lelaki itu ke belakang.

Tersepit antara lelaki misteri dan perempuan yang menakutkan. Bukan situasi yang baik. Keadaan sekarang seperti pertarungan sengit bakal tercetus. Lelaki misteri itu langsung tidak berbuat apa-apa. Dalam kelompok samseng tadi pula, ada antara mereka yang nampak ketakutan. Meera, dia sudah sedia untuk beraksi.

“Tepi!”

Tubuh Meera ditolak. Kelima-lima mereka terus beredar dari situ.

Nafas lega dilepaskan. Rohana memandang wajah Meera yang kian reda daripada ekspressi marah tadi. Masih agak menakutkan, Rohana tetap mengucapkan terima kasih kerana muncul.

Dia datang hampir kepada Meera. Tidak dipedulikan. Sebaliknya Meera pula berlalu kemudian berhenti kembali. Pinggang dicekak.

“Kau. Turun sekarang.” Arah Meera.

Lelaki yang berada di sebalik tembok itu tadi melompat turun. Lembut dia mendarat. Seperti berpijak di atas kapas.

“Kau kenal perempuan ni?” Lantang suara Meera bertanya.

Lelaki itu sekadar mengangguk. Sekali.

“Kenapa tak tolong dia?”

Lelaki itu tidak menjawab. Sebaliknya dia memandang wajah Rohana yang sebahagian besar daripadanya tidak kelihatan, dilindungi hud parka.

“Kalau kenal, kenapa tak tolong dia? Be a man!” Tegas Meera lantas menumbuk perut lelaki itu tiba-tiba.

Lelaki itu pula tidak melawan. Tidak berganjak walaupun selangkah. Meskipun tumbukan tadi sangat berbisa. Dia menegakkan postur tubuh kembali sambil tangan memegang tempat yang ditumbuk tadi. Tiada sepatah perkataan pun dilafazkan. Tiada apa untuk dinafikan.

Keluhan dilepaskan. Meera terus beredar dari situ.

“Aaa... Terima kasih...” Ucap Rohana sekali lagi sebelum Meera hilang dari pandangan.

Tiada jawapan. Meera hanya mengangkat tangan kanan lalu melambai beberapa kali dan terus lesap ke dalam arus orang ramai yang terus mengalir tidak putus-putus.

Rohana kembali kepada lelaki itu pula.

“Ridzuan?” Rohana mengenal pasti.

Lelaki itu sekadar mengangguk. Nafasnya turun naik.

“Apa yang awak buat di tempat seperti ini?” Rohana menyambung.

“Sepatutnya saya yang tanya soalan itu. Perempuan tak sepatutnya datang ke alley yang jadi sarang samseng macam tadi.” Ridzuan membalas semula. Lembut suaranya berbicara. Peluh yang mengalir menahan sakit tadi dikesat.

Mata Ridzuan direnung. Hanya itu sahaja boleh dia tumpu penglihatan pada wajah lelaki itu. Cair anak mata Ridzuan, menenangkan. Semakin lama dia renung, Rohana terasa dirinya semakin terpukau.

Ingin tahu. Ingin tahu. Ingin tahu bagaimana wajah sebenar Ridzuan. Sudah 4 tahun berada dalam kelas yang sama. Dalam 4 tahun ini hanya beberapa perbualan-perbualan ringkas. Beberapa kali bertentangan mata tanpa sebarang komunikasi.

Bukan itu yang dia inginkan.

Hasrat di hati tidak terjawab. Diri sendiri tidak dapat meluahkannya. Tiada seorang pun yang dapat membaca fikirannya.

Tubuh hilang kawalan. Tangan kanan Rohana dengan sendiri terangkat. Menuju ke arah wajah Ridzuan. Jari hantu, telunjuk kemudian manis menyentuh face mask yang dipakai. Perlahan-lahan membentuk genggaman.

Segera Ridzuan melompat ke belakang. Kepalanya terhantuk pada tembok. Tidak terasa sakit kerana terkejut dengan tingkah laku Rohana yang luar jangkaan tadi.

“A... apa yang awak...”

“Maaf!” Rohana menundukkan wajah. Malu. Merah padam sebaik sahaja sedar perbuatannya. Parka digenggam erat menahan diri.

Ridzuan melihat keadaan sekeliling. Tidak manis jika mereka terus berada di sini. Lelaki dan perempuan. Berdua-duaan. Lorong yang gelap. Bukan sahaja kelompok tadi, malah orang yang kebetulan lalu di situ juga akan beranggapan negatif.

Terkaku. Tidak bergerak. Ridzuan tiada pilihan lain. Lengan parka dicubit. Ridzuan membawa perempuan itu pergi.


bersambung..

You Might Also Like

12 comments

  1. Best la citer nie Zizie... Zumal suka citer yang ada unsur suspend gini pastu ada watak Meera ala adiwira tu. Tetiba rasa macam nak jd pi macam Rohana tu. Hehe ^_^

    ReplyDelete
  2. woww... layan gile cite ni... tak sabar nak baca sambungannya.. ^_^

    ReplyDelete
  3. Eh eh..Zizie, sejak bila wat citer ni.. Huhu. Best la story Zizie. Lain dari yang lain. :D

    ReplyDelete
  4. good tapi kena asah lagi..
    okay next. hikhik

    ReplyDelete
  5. Berdebar debar..hehe..teruskan berkarya ye,,

    ReplyDelete
  6. best. best.

    klik mcd 2x untuk kak zizie :)

    ReplyDelete
  7. sumbingkah lelaki itu?
    harap tidaklah..
    huhuhu...

    ReplyDelete
  8. Salam. Hee rajin tulis cerpen itu.

    ReplyDelete
  9. keeep it up.. boleh geng ngan blogger blogger lain yang rajin bekarya ^^

    ReplyDelete
  10. kita tak sempat nak baca la..nak komen pun karang macam tak adil pula.. harap zizie boleh letak la link cerpen2 kat tab menu or sidebar ke tajuk 'Cerpen' walaupun writer menumpang blog zizie. huhu

    ReplyDelete

blog ini berbentuk blog personal yang berkongsi tentang kehidupan zizie, dan beberapa informasi yang berguna untuk manusia sejagat. sebarang bahan bacaan di dalam blog ini bebas untuk ditulis semula kecuali bahan yang berunsur peribadi dan merupakan hak milik zizie. pihak zizie juga tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen daripada para pembaca.