Amanah
22.1.16
Amanah | Amanah adalah satu hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang samada tanggungjawab itu milik Allah (hak Allah) mahupun hak manusia (hak insan) baik berupa pekerjaan mahupun perkataan dan pekerjaan hati.
Pengertian amanah bererti menempatkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, seperti sesuatu kedudukan tidak diberikan kecuali kepada orang yang betul-betul berhak dan yang betul-betul mampu menunaikan tugas dan kewajipannya dengan benar.
Kebaikan orang awam suka menyempitkan pengertian amanah hanya menjaga urusan yang melibatkan kewangan sahaja bahkan pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat pertanggungjawabkan.
Sabda Rasulullah s.a.w. dari riwayat Al-Bukhari yang bererti : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga dipimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.
Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.
Terdapat satu kisah yang telah diceritakan oleh Abdullah Ibnu Dinar " pada suatu hari, saya berjalan bersama Khalifah Umar Al-Khatab di Mekah, waktu itu saya bertemu dengan seorang budak pengembala kambing yang sedang mengembala kambingnya. Kemudian Saidina Umar berkata kepada budak pengembala kambing itu : " juallah kambing itu kepadaku " budak itu menjawab : " kambing ini bukan kambingku, tetapi kepunyaan tuanku ". Kemudian Saidina Umar sekali lagi cuba menawarnya : " Bukankah engkau dapat mengatakan kepada tuan engkau, bahawa satu di antaranya telah dimakan serigala, dan pasti tuan engkau tidak akan mengetahuinya. " Tidak, saya tidak mahu, " kata budak itu, " sesunggguhnya Allah maha mengetahui ". Kemudian setelah mendengar yang demikian, menangislah Saidina Umar dan berkata kepada pengiringnya supaya memanggil tuannya, Saidina Umar telah membeli budak itu lalu dibebaskan oleh beliau, dengan berkata : " Sejak hari ini engkau bebas merdeka di dunia dan engkau akan lapang di akhirat ".
Sabda Rasulullah s.a.w. seperti mana yang telah diberitahu oleh Anas bin Malik yang bermaksud : Tidak sempurna iman seseorang yang tidak dapat dipercayainya. Dan tidak sempurna agama orang yang tidak menunaikan janji.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa'ayat 58 yang berbunyi :
Maksudnya : " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".
Amanah hendaklah diberikan kepada orang yang benar-benar boleh melaksanakannya, kerana menurut hadis Rasulullah s.a.w. dari riwayat Muslim : " Dari Abu Zhar, dia berkata : " Saya berkata " : Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya. " Rasulullah bersabda " hai Abu Zhar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya.
Hadis di atas kita lihat dimana Abu Zhar ketika meminta jawatan, tidak dipedulikan oleh Rasulullah s.a.w. Kerana amanah menuntut dan menghendaki kita memilih orang-orang yang lebih baik untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan. Jika kita cenderung memilih yang lain secara tidak berhati-hati, kerana mengamalkan sikap pilih kasih, bermakna kita telah melakukan pengkhianatan yang berat, kerana menyingkirkan orang yang ahli (mampu) dan mengangkat orang yang bukan ahli. Sesungguhnya kisah nabi Yusuf yang jujur, termaktub dalam Al-Quran adalah satu pengajaran yang baik untuk dijadikan pedomannya sepertimana firman Allah ta’ala :
Maksudnya : " Berkata Yusuf : " berikanlah kepadaku jawatan perbendaharaan negara (Mesir) kerana sesungguhnya aku adalah orang yang paling pandai menjaga, lagi berpengetahuan ".
Dan perhatikan riwayat hadis dibawah ini :
Yazid bin Abu Sufiyan berkata : Telah berkata kepadaku Abu Bakar r.a. di waktu beliau mengutusku ke negeri Syam : Hai Yazid ! sesungguhnya engkau mempunyai kerabat, boleh jadi engkau mengutamakan mereka buat memegang kekuasaannya, dan itulah yang aku khuatirkan atasmu, kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bererti :"Barangsiapa menguasai sesuatu dari urusan kaum muslimin, lalu dia memberi kuasa kepada seseorang atas mereka kerana cintanya, maka laknat Allah menimpa atasnya, Allah tidak diterima daripadanya gantian dan tidak pula tebusan, sehingga dia dimasukkan ke dalam neraka jahannam ". (Riwayat Al-Hakim)
Sumber: Pusat Islam UTeM
9 comments
terima kasih kerana ingatkan :)
ReplyDeletethanks kak zizie for the reminder :D
ReplyDeleteamanah perkara paling berat untuk kita, thank you sharing kak Zizie :)
ReplyDeleteamanah kita dengan PENCIPTA..amanah dengan diri sendiri...amanah dengan sekeliling kita...
ReplyDeleteterima kasih perkongsian ini zie...
Nice entry sister! :)
ReplyDeletethanks for sharing :-) nak reflek diri balik...
ReplyDeleteAmanah memang berat. Salah 1 ciri org munafik bila diberi amanah, dia khianat. Allah, jauhlah kami daripada termasuk dalam golongan itu
ReplyDeletealhamdulillah. terima kasih sebab ingatkan :D
ReplyDeletethanks for reminder kak zizie. benda yg paling berat itu ialah amanah, kena jaga bebaik :)
ReplyDelete